Friday, 25 May 2012

:: Punca Gangguan Emosi dalam kalangan Murid ::


Punca Gangguan Emosi dalam kalangan Murid

Mengikut Terri Mauro (2004),  terdapat  banyak  faktor  yang  berkait  dengan gangguan  emosi  dalam kalangan kanak-kanak.   Antara  punca  berlakunya  gangguan emosi  dalam  kalangan  murid  ialah persekitaran  sekolah,  peristiwa  dalam keluarga, pengaruh  keluarga,  pengaruh  rakan sebaya,  tindakan  guru dan lain-lain  lagi.

Gangguan  emosi  dalam  kalangan  murid  berpunca  daripada  persekitaran  sekolah yang  tidak kondusif.  Contohnya  gangguan  emosi  itu  mungkin  berpunca daripada masalah  kesesakan  di dalam  kelas  yang  boleh  mewujudkan  kecenderungan  murid untuk melakukan  kesalahan  disiplin.   Ini  selaras dengan  pendapat  yang  diberikan  oleh Ketua  Jabatan Pendidikan Kaunseling  dan  Psikologi  Kaunseling,  Fakulti  Pengajian Pendidikan,  Universiti  Putra Malaysia  (UPM),  Prof  Madya  Dr  Rusnani  Abdul  Kadir  yang mendapati  bahawa  kecendurungan  ke arah  perlakuan  negatif   wujud   kerana  dipengaruhi  unsur  rangsangan  di  sekeliling  mereka.  Ini bermaksud  murid  mungkin   melakukan kesalahan   akibat  daripada  suasana  persekitaran  yang  tidak kondusif  dan mengganggu  emosi  mereka.  

Keadaan  ini  berlaku  kerana  keadaan  sekolah  yang  sesak  akan membawa  kepada   fizikal   kelas   padat   dan  menyebabkan   situasi   tidak   selesa   kepada   proses  pengajaran  dan pembelajaran.  Malah  keadaan  ini  menjadi  lebih  ketara  jika  ada  murid  nakal  yang  sering  mengganggu  proses  pengajaran  dan  pembelajaran.   Ini  secara langsung  akan  mengganggu  murid  yang  ingin  belajar  dan menyebabkan  mereka  mengalami   tekanan   emosi.

 Selain  itu,   peristiwa   dalam   keluarga  juga  akan  menjadi punca murid  mengalami gangguan  emosi.  Peristiwa  dalam  keluarga  selalunya  melibatkan  perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan murid. Peristiwa dalam hidup mungkin bersifat  positif  atau  negatif dan melibatkan diri sendiri atau orang yang tersayang. Contoh peristiwa hidup yang negatif adalah penderaan,  penceraian,  kemalangan ,kematian,  muflis  atau  hilang  pekerjaan,  dipenjara,  krisis  kewangan  dan lain-lain.

 Manakala  peristiwa  hidup  yang  positif   termasuk perkahwinan,  mengandung, kenaikan  pangkat  dan  berpindah  ke  rumah  baru.  Peristiwa  dalam  kehidupan keluarga  seperti  yang  dinyatakan  itu  memberi  kesan   ke atas  masalah  emosi  seseorang  murid.  Peristiwa  yang  sedemikian  akan  menyebabkan  emosi   murid  tertekan  dan  selalunya mereka  akan  menunjukkan   tindak   balas   fizikal,   emosi   dan   tingkah   laku  seseorang.    Dari  segi  emosi,  murid  akan  berasa  susah  hati,  murung,  sedih, marah,  tidak  tentu  arah, resah  dan  lain-lain lagi.

 Di  samping  itu,  keluarga  yang   sering  bertengkar,  bergaduh dan kurang  mesra, tidak  menaruh  minat  terhadap  anak-anak,  bercerai,  terdapat  kematian  dan perpisahan akan membawa keadaan   gangguan  emosi  dan  penyesuaian  kanak-kanak  yang  tidak stabil.  Pengaruh  keluarga menjadi  punca  keadaan  ini berlaku.  Dari  segi  tingkah  laku, murid  berkenaan   mungkin  akan  bertindak  berlainan di antara satu dengan lain. Sesetengahnya ada yang menjadi kaku, ada juga yang meluahkan emosi manakala ada juga yang tidak menunjukkan  sebarang  emosi.  Keluarga yang  mesra  antara  satu sama lain,  demokratik  dan  ibu bapa yang memenuhi keperluan kanak-kanak akan meningkatkan penyesuaian kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang melihat dirinya diterima  oleh ibu bapanya akan menunjukkan aspirasi ego yang lebih tinggi,  ketabahandan ketekunan dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Faktor tidak biasa berenggang dengan keluarga juga menjadi salah satu puncanya kenapa kanak-kanak mengalami gangguan emosi.  Contoh situasi ialah, kanak -kanak yang tidak pernah berenggang dengan ibunya juga akan dilanda tekanan emosi jika ditinggalkan di bawah jagaan pengasuh tadika. Kanak-kanak tersebut  akan menangis dan  menunjukkan  perubahan  tingkah laku  yang ketara.  Jika kanak –kanak  ini dimasukkan  ke hospital , ibu  atau  bapanya  dinasihatkan  agar  sentiasa  berada  di  sisinya  kerana  keadaan  persekitaran  yang  asing  dan  berbeza  akan  memberi  kesan  kepada   status  emosi  anak  itu. Kehadiran  ibu  bapa  sedikit  sebanyak  akan mengurangkan  tekanan  emosi  dan  perasaan  takut  kanak –kanak  tersebut.

Kurangnya kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa kanak-kanak juga salah satu penyebab kenapa kanak-kanak  mengalami gangguan emosi.  Kasih sayang akan menberikan impak yang besar kepada emosi kanak-kanak yang sedang membesar yang sentiasa menginginkan tumpuan dan kasih sayang yang mencukupi. Kasih sayang yang cukup akan membuatkan semosi kanak-kanak menjadi stabil dan  akan  membuatkan mereka menjadi sangat gembira dan selesa dalam  kehidupan seharian  mereka.

Tindakan guru yang  tidak memahami masalah anak ini mungkin akan mengabaikannya begitu sahaja tanpa memberikan perhatian ,  sokongan dan bimbingan.  Dalam usaha untuk mendapatkan perhatian ,  kanak -kanak ini mungkin menjadi hiperaktif ,  sering mengacau kanak -kanak lain dan merayau -rayau sesuka hatinya. Tingkah lakunya mungkin akan menjejaskan program -program yang telah diaturkan di tadika atau di kelasnya. Kanak -kanak yang sebegini perlu mendapatkan penilaian yang terperinci bagi mengenal pasti ciri -ciri kelemahan dan kekuatan yang dimlikinya.

Friday, 20 April 2012

:: PANDUAN-PANDUAN KESELAMATAN KANAK-KANAK DI RUMAH ::


Assalam, apa reaksi anda apabila melihat gambar di atas?? adakah anda sedih?? atau anda berasa kesian terhadap baby tersebut? Kali pertama diri melihat gambar di atas.. diri merasa sangat terkejut, sedih dan kesian dekat baby tersebut.. tetapi apakan daya.. ALLAH SWT lebih lagi menyayangi baby ini... >_< justeru itu, diri telah mencari di dalam google tentang panduan keselamatan untuk kanak-kanak di rumah.. dan entri yang akan dikongsikan ini yang telah diri ini terjumpa. Diharap dapat memberikan  manfaat untuk semua orang khususnya ibu bapa dan baby sitter insyaALLAH..

Panduan-panduan Keselamatan di Rumah

Keselamatan di rumah merupakan satu isu yang sering diabaikan. Menjadikan rumah anda sebagai sebuah rumah yang selamat untuk kanak-kanak adalah satu proses yang rumit dan terperinci. Proses ini bermula daripada kesedaran serta kemahuan ibu bapa untuk menjadikan rumah sebagai sebuah tempat perlindungan yang selamat.

Sebahagian besar kecederaan yang berlaku berpunca daripada kemalangan yang berlaku di rumah. Kemalangan-kemalangan ini sebenarnya boleh dicegah. Kemalangan-kemalangan pada kebiasaanya berlaku pada waktu lewat petang atau pada waktu malam apabila kanak-kanak keletihan dan mengantuk. Jenis kemalangan yang sering berlaku ialah:
·         Terjatuh
·         Terkena api
·         Terambil racun
·         Sesak nafas atau tercekik
·         Lemas

Berikut adalah senarai perkara-perkara yang anda boleh lakukan untuk menjadikan rumah anda serta persekitarannya selamat untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun anda harus ingat bahawa walau apa pun yang anda lakukan untuk menjadikan persekitaran kanak-kanak anda selamat, perkara yang terbaik untuk diamalkan ialah untuk mendidik anak anda untuk menjaga keselamatan diri sendiri. Pelan anda untuk menjadikan rumah anda selamat boleh dijadikan proses pengajaran yang mengambil kira penglibatan anak-anak anda ini adalah kerana ia dapat diperbaiki dari masa ke semasa melalui bantuan dan pandangan anak-anak anda.


Perkara-perkara yang anda boleh lakukan untuk menjadikan rumah anda lebih selamat, ialah:

  • Jangan sekali-kali membiarkan bayi anda di rumah bersendirian, di atas katil atau meja, atau di dalam tandas tanpa diiringi oleh orang dewasa 
  • Jangan tinggalkan beg plastik atau belon di kawasan yang boleh dicapai oleh bayi. Kanak-kanak boleh mengalami kesesakan nafas apabila bermain dengan benda-benda ini
  • Jangan tinggalkan objek-objek kecil terbiar di merata tempat. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh tercekik apabila meletakkan objek-objek kecil dalam mulut atau boleh mencederakan diri dengan meletakkannya ke dalam hidung 
  • Pastikan pengasuh anak anda, ialah seorang yang mempunyai   pengalaman menjaga kanak-kanak
  • Pastikan tingkap rumah anda dilengkapi dengan besi bersilang dan anjung rumah tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak 
  • “Baby walkers” merupakan alat permainan yang merbahaya dan tidak membantu anak anda belajar berjalan lebih awal. 
  • Pastikan buaian yang boleh dilambung, dipasang dengan betul dan mempunyai dasar yang lebar berbanding rangkanya. Letakkan sebuah tilam atau bantal seluas dua kali ganda kawasan dasar buaian apabila buaian digunakan.
  • Jangan biarkan benda-benda yang tajam di merata tempat dan di tempat yang boleh dicapai oleh kanak-kanak
  • Jangan amalkan tabiat merokok di dalam rumah. Hampir semua kebakaran bermula dengan penghisap rokok yang cuai yang tidak memadam api puntung rokok sepenuhnya. 
  • Rangkakan satu pelan keselamatan untuk kebakaran. 
  • Beli sebuah alat pemadam api untuk disimpan di dalam rumah. 
  • Elakkan daripada memegang air panas atau benda-benda panas apabila adanya kehadiran kanak-kanak berdekatan dengan anda. 
  • Gunakan minyak tanah yang diiktiraf oleh SIRIMUse kerosene that has been SIRIM certified. 
  • Jangan tinggalkan anak anda bersendirian dekat dengan air. 
  • Untuk mandi dengan air panas, penuhkan bekas mandi dengan air sejuk terlebih dahulu, kemudian barulah tuangkan air panas dan bukan sebaliknya. 
  • Pagarkan kawasan disekeliling kolam mandi anda. 
  • Gunakan kerusi kanak-kanak yang sesuai dengan umur anak anda apabila mengadakan perjalanan melalui kereta, TERUTAMANYA UNTUK JARAK PERJALANAN YANG PENDEK. Kebanyakan kes kemalangan berlaku dalam perjalanan yang pendek. 
  • Jangan mendukung anak anda semasa menumpang kereta, dengan anggapan bahawa dengan cara ini anak anda berada dalam keadaan yang selamat. Sewaktu kemalangan, anak anda boleh terpelanting dari dukungan anda, atau badan anda boleh mengenakan impak ke atas anak anda.
  • Kanak-kanak di bawah umur 12 bulan tidak boleh menumpang di kerusi belakang basikal. Kerusi-kerusi ini adalah untuk kanak-kanak yang lebih tua. Bila membawa kanak-kanak yang lebih tua, pastikan mereka memakai topi keselamatan basikal mereka.
  • Pagarkan tangga di rumah anda jika anak-anak anda baru mula belajar merangkak atau berjalan. 
  • Jauhkan anak anda daripada mesin memotong rumput apabila rumput halaman rumah anda sedang dipotong
  • Simpan ubat/bahan-bahan mudah terbakar/sabun/racun rumah seperti pembasmi kuman atau penyembur serangga ditempat yang jauh dari capaian kanak-kanak. Labelkan benda-benda yang berbahaya sebagai tanda amaran kepada kanak-kanak.
  • Periksa rumah anda untuk cat yang mempunyai kandungan plumbum. Sisa-sisa dari cat ini boleh mengakibatkan keracunan yang serius jika ditelan. Tukarkan cat anda kepada jenis yang bebas daripada bahan plumbum. 
  • Pastikan tumbuh-tumbuhan yang anda miliki tidak beracun.
  • Belajar kaedah pertolongan cemas untuk kanak-kanak. Beri didikan kepada anak-anak anda tentang kaedah-kaedah pertolongan cemas. 
  • Didiklah anak-anak anda cara untuk berenang.
  • Jangan biarkan alat-alat elektrik di dalam tandas. 
  • Jangan biarkan alat elektrik yang rosak di rumah, kerana anak anda mungkin akan cuba  menggunakannya.
  • Tutup punca-punca elektrik di rumah anda dengan penutup yang khas.
  • Jangan biarkan anak anda bersendirian dalam kereta.
  • Pastikan semua alat permainan anak anda memiliki ciri-ciri keselamatan 
  • Labelkan semua bahan-bahan beracun yang disimpan dalam rumah dengan pelekat-pelekat yang boleh dikenalpasti oleh kanak-kanak sebagai bahan yang berbahaya dan tidak boleh disentuh.
  • Jangan biarkan anak-anak bermain mercun atau cuba untuk membuat mercun secara bersendirian.
  • Pastikan anak anda memakai pakaian yang sesuai apabila bermain. 
  • Pastikan taman permainan yang digunakan oleh anak anda adalah selamat untuk kanak-kanak.
  • Jangan sekali-kali membawa kanak-kanak sebagai penumpang motorsikal. Penunggang motorsikal merupakan kumpulan terbesar yang mengalami kemalangan di jalan raya. Gunakan kaedah pengangkutan lain yang lebih selamat.

Tuesday, 17 April 2012

:: Memahami Tingkahlaku Bermasalah di Kalangan Kanak-Kanak ::

Memahami Tingkahlaku Bermasalah di Kalangan Kanak-Kanak



Dalam mengharungi kehidupan, pelbagai cabaran dari segi fizikal dan psikologikal dihadapi oleh setiap individu. Cabaran dan rintangan hidup ini kadangkala menyebabkan berlakunya gangguan emosi dan tingkahlaku. Sekiranya pengesanan awal, rawatan, penjagaan dan pemulihan tidak dibuat, maka impak yang amat besar akan dialami oleh individu itu sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita akan kehilangan modal insan untuk membangunkan negara ke arah mewujudkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Definisi Tingkahlaku
Tingkahlaku adalah apa sahaja yang dilakukan dan diucapkan oleh seseorang, dan boleh dilihat oleh orang lain (Mukherji, 2001). Ia merupakan respon atau tindak balas individu terhadap apa yang berlaku sama ada dalam dirinya sendiri ataupun di persekitaran. Contohnya jika kanak-kanak gembira, tindakan yang dibuat oleh kanak-kanak itu untuk menzahirkan perasaan tersebut seperti tersenyum, menepuk tangan atau melompat dianggap sebagai tingkahlaku.


Terdapat dua jenis tingkahlaku, iaitu yang boleh dilihat (overt) dan tidak boleh dilihat (covert). Tingkahlaku yang boleh dilihat termasuklah tingkahlaku verbal (penggunaan bahasa) dan tingkahlaku motor (pergerakan badan). Tingkahlaku-tingkahlaku ini boleh dilihat dan diperhatikan oleh individu lain.

Tingkahlaku Bermasalah
Sesuatu tingkahlaku yang boleh merosakkan diri sendiri atau orang lain termasuk persekitaran dianggap sebagai tingkahlaku bermasalah. Antaranya ialah tingkahlaku agresif (buli, vandalisme, jenayah), tingkahlaku berisiko tinggi (kehamilan, penyalahgunaan dadah dan alkohol, lumba haram), delinkuen (kelakuan antisosial dan melanggar undang-undang), keresahan, kemurungan, kecelaruan, dan mencederakan diri sendiri.

Di Malaysia, 13 peratus atau 130 000 orang kanak-kanak dan remaja didapati mengalami masalah tingkahlaku dan emosi (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005). Antara sebab yang menyumbang kepada tingkahlaku bermasalah termasuklah tekanan dalam keluarga, teknik keibubapaan yang kurang sesuai, keadaan persekitaran, dan kurangnya ilmu pengetahuan untuk menanganinya.

Pengesanan dan intervensi awal dianggap penting untuk membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa supaya perkembangan yang sihat dapat diperoleh. Perkembangan yang sihat ini dapat membentuk kesejahteraan mental yang baik untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan

Fields dan Boesser (1994) telah menghuraikan beberapa keperluan kanak-kanak yang akan menyebabkan mereka menunjukkan tingkahlaku bermasalah sekiranya tidak dipenuhi. Antaranya ialah:

1. Privasi-Kadangkala kanak-kanak inginkan ruang atau kebebasan untuk menyendiri. Contohnya, kanak-kanak ingin bermain atau membaca bersendirian.

2. Kuasa • Kanak-kanak juga inginkan kuasa untuk menentukan dirinya sendiri. Mereka juga inginkan kebebasan. Contohnya, kanak-kanak ingin memilih sendiri pakaian yang ingin dipakai semasa bermain.

3. Memiliki barang peribadi • Kanak-kanak ingin memiliki sesuatu benda. Mereka tidak mahu berkongsi barang yang dianggap milik peribadi seperti kasut dan permainan.

4. Perhatian • Kanak-kanak inginkan perhatian. Selalunya, mereka akan menangis supaya dapat memberitahu orang lain tentang keperluan mereka itu.

5. Kejayaan dan cabaran • Kanak-kanak ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka meneroka dunia dan persekitaran disebabkan perasaan ingin tahu. Kanak-kanak akan mencuba sesuatu tingkahlaku untuk melihat kesan daripada tingkahlaku tersebut.

6. Keselamatan • Keperluan keselamatan yang ingin diperlukan oleh kanak-kanak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosional. Melalui interaksi, kanak-kanak belajar untuk menghargai dan menerima dirinya sendiri dan orang lain.

7. Kasih sayang dan penerimaan • Kanak-kanak ingin disayangi dan diterima seadanya oleh orang lain. Apabila kanak-kanak merasakan diri mereka terbiar, mereka akan merasa rendah diri dan kendiri negatif akan terbentuk.


Di petik dari Buku :
Memahami Tingkahlaku Kanak-Kanak
Mahani Razali
Mahizer Hamzah
Nor Junainah Mohd Isa